Thursday, May 31, 2012

Antara Hujan dan Airmata

Selebat hujan yang turun
Mencurah membasahi bumi
Tidak selebat hujan
Di dalam jiwaku

Thursday, May 17, 2012

Wednesday, May 9, 2012

Dunia Pendidikan Sebenar

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana rezeki kurniaanNya aku dapat ditempatkan di salah sebuah sekolah Daerah Hilir Perak, Teluk Intan iaitu SK. Tapak Semenang. Sekolah ini terletak di perkampungan yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit. Sekolah ini juga diberi taraf Sekolah Kurang Murid (SKM) iaitu seramai 47 orang murid dan 12 orang guru termasuk aku serta Pentadbir. Pada mulanya agak terkejut melihat sekolah ini. Pertama kali aku melihat sekolah yang kecil jumlah muridnya. Setibanya di sekolah, aku berjumpa dengan Guru Besar iaitu En. Umar Bin Mimbar. Beliau seorang lemah lembut dari segi percakapannya. Latar belakang sekolah, guru-guru dan murid-murid diceritakan secara ringkas. Sedikit sebanyak aku sudah tahu dan mendapat gambaran walaupun tidak lagi jelas dengan sekolah yang akan aku tatapi sekarang berseorangan berbeza sewaktu praktikum yang aku lalui sebelum ini bersama kawan. Semuanya aku perlu hadapi sendirian. 

         Hari pertama aku di situ, kebetulan mesyuarat takwim kurikulum dan kokurikulum dijalankan. Sewaktu mesyuarat, aku kebingungan dengan agenda yang dibincangkan. Semuanya pengetahuan baru. Pengetahuan berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah sebenar. Sebelum ini, aku tidak pernah melibatkan diri dengan pengetahuan tersebut. Sewaktu praktikum, aku hanya didedahkan dengan pengajaran dan sukan. Sukan pun hanyalah sebagai jurulatih bukannya pengurus. Sangat berbeza dunia pendidikan sebenar. Aku masih lagi 'cool' dan  buat-buat faham sahaja :-).  Hari pertama sudah dilantik  jawatan jurulatih badminton. Mujurlah aku sudah mempunyai pengalaman dalam bab ini. 

       Aku meneruskan hari dengan mengajar, melatih sukan, menerima lantikan-lantikan jawatan baru seperti Guru Kelas, Ketua Panitia, SU Peperiksaan, Guru Disiplin, SU 1 Murid 1 Sukan, Jurulatih Takraw, Jurulatih Bola Baling, Jurulatih TKRS, Pengadil Badminton dan Pengurus/Jurulatih Pantun. Aku dengan ikhlasnya tidak menolak sebarang jawatan yang diberikan atas sebab semuanya sangat berguna pada masa akan datang. Aku belajar satu persatu. Waktu tidur petang tiada dalam hidup aku tidak seperti zaman belajar dahulu iaitu tidur petang sudah  menjadi perkara utama. Pada masa  yang sama, kerja-kerja pentadbiran dan pengajaran perlu dilakukan. Kitalah guru, kitalah ayah ibu, kitalah tukang kebun, kitalah tukang rumah, kitalah penceramah, kitalah doktor, kitalah kerani, kitalah polis peguam hakim dan sebagainya. Semua itu hanyalah semata-mata untuk mendidik murid menjadi insan yang berguna. Penat dan  stress aku hadapi dengan tabah. Apa yang penting selagi niat kita betul semua itu tidak akan jadi penghalang. Aku berasa sangat puas dan bersyukur kerana ditempatkan di sekolah ini. Permulaan sering kali akan membentuk kita yang sebenarnya. 

      Aku sangat menghormati guru-guru di sekolah ini. Aku puji semangat mereka dalam membentuk murid-murid menjadi insan yang berguna bukan sahaja akademik malah dari segi sahsiah serta sukan. Jika diikutkan sekolah yang bilangan murid-murid yang kecil agak sukar untuk membentuk pasukan sukan yang kuat. Tetapi, guru-guru tersebut tetap meneruskan perjuangan dalam pelbagai sukan kalah atau menang tidak menjadi isu yang utama apa yang sering kali dikatakan ialah ''kita perlu memberi ilmu dan pengalaman kepada murid-murid". Aku sangat setuju dengan penyataan itu. Jika dilihat kepada kekuatan murid-murid  sekolah aku banyak kekurangannya berbanding dengan sekolah-sekolah lain yang besar jumlah muridnya. Apa yang membanggakan pasukan sekolah aku dapat bersaing dengan pasukan sekolah-sekolah lain. Banyak pencapaian yang membanggakan seperti Juara Kelompok Permainan Bola Jaring, Naib Johan Kelompok Permainan Sepak Takraw, Johan Kelompok Nasyid/Tilawah Al-quran dan banyak lagi. Sekolah aku sangatlah aktif. Bilangan murid yang sedikit bukanlah alasan untuk mengelak dari menyertai apa-apa pertandingan. Peranan guru yang paling penting. Oleh itu, seorang guru perlulah mendidik dirinya supaya menjiwai sifat guru sebenar demi kepentingan anak-anak didiknya.

    Hampir 5 bulan aku menjadi guru. Banyak yang aku lalui. Banyak ilmu baru aku perolehi. Banyak juga pengalaman yang aku dapat. Moga aku akan terus menjadi guru yang menjiwai sifat guru dengan konsisten sehingga akhir hayat. " Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Selamat Menyambut Hari Guru Kepada Semua Warga Pendidik.