Friday, February 8, 2013

Penghargaan



بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamu'alaikum wbt

     Penghargaan adalah hadiah kepada orang yang telah berjasa dan berbudi kepada kita. Penghargaan dapat ditunjukkan dengan pelbagai cara seperti ucapan terima kasih, memberikan senyuman, memberikan hadiah dan sebagainya. Kita seharusnya membalas budi seseorang terhadap kita kerana dengan cara ini akan memberi kesan kepada ketenangan hati kedua-dua pihak. Perkara ini nampak seperti remeh tetapi ia memberi kesan yang besar dalam kehidupan seharian kita. 

      Selain itu, penghargaan yang diberikan akan membuatkan seseorang yang telah berjasa itu merasai dihargai atas pengorbanan yang telah dilakukan. Secara tidak langsung, ini akan membangkitkan semangat untuk terus berbuat baik. Hargailah orang yang telah berbuat baik kepada kita. Dengan ini, kita dapat membentuk hati yang bersih dan kita akan disenangi oleh semua.

       Akhir sekali, hargailah Allah S.W.T kerana telah memberi kita nyawa, keluarga, dan peluang untuk kita hidup bagi membolehkan kita berbuat yang terbaik untuk hari ini dan InsyaAllah pada hari berikutnya. Semoga Allah S.W.T sentiasa melembutkan hati kita untuk sentiasa memberi penghargaan kepada orang lain. Amin.

" Kita perlu hargai orang lain,
   Kelak, orang lain akan menghargai kita " a. A

Wednesday, February 6, 2013

Usaha, Tawakkal dan Ketentuan


بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamu'alaikum wbt


     Setiap manusia mempunyai keinginan dan impian tersendiri. Apa sahaja yang kita inginkan, kita seharusnya berusaha mendapatkannya. Gunakanlah apa-apa cara sekalipun selagi tidak bertentangan dengan syariat. Kejarlah ia semampu mungkin kelak kita tidak akan menyesal di kemudian hari. Janganlah merasa jemu melakukan sesuatu demi mendapatkan apa yang ingin dikecapi. 

       Seterusnya, setelah kita usaha dengan pelbagai cara, kita seharusnya mengiringi dengan tawakkal. Sesungguhnya tawakkal dapat meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T. Ini kerana tawakkal adalah suatu sikap seseorang yang yakin dengan Allah S.W.T. Kita seharusnya menyandarkan kepada Allah S.W.T apabila menghadapi kesukaran. Serahkanlah diri kita kepada Allah S.W.T setelah berusaha keras dalam mengecapi apa yang kita inginkan.

        Akhir sekali, sama ada kita kecapi apa yang diinginkan atau sebaliknya kita perlu terima akan ketentuan Allah S.W.T. Kita perlu redha akan qada dan qadar yang telah ditetapkan. Relakan hati kita dengan apa yang berlaku. Janganlah kita menyalahkan sesiapa kerana apa yang terjadi semuanya telah tertulis. Sesungguhnya, apa yang kita rancang adalah baik tetapi apa yang dirancang oleh Allah S.W.T adalah yang paling baik untuk kita. 


"Usaha dengan doa,
  Masanya akan tiba.
  Dengan restu ilahi,
  Kelak pasti akan ditemui"


Sunday, February 3, 2013

Cinta Sejati




بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum wbt

Baru-baru ini terbaca kisah Nabi adam a.s di blog 'halaqah.net'. Antara yang diceritakan dalam entry ini adalah :
"Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan. Adam kesepian Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri? Hawa diciptakan Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia. Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan malu."

Aku juga mengharapkan hawaku dapat memenuhi ruang sunyi dihati seperti mana Nabi Adam a.s yang dilengkapi hatinya oleh Hawa. Aku ingin menikahi hawaku dengan syariat yang ditetapkan dalam Islam. Tidak perlu "couple" sebelum bernikah adalah lebih baik. Cukup sekadar mengenali hawaku. Aku yakin hawa yang dijadikan dari tulang rusuk sebelah kiriku akan melengkapi hidup aku. Pesanan kepada Hawaku "Jagalah dirimu sebaik-baiknya. Jadilah wanita yang pemalu kerana engkau adalah keturunan "HAWA". Janganlah kotorkan hatimu dengan lelaki yang bukan Adammu. Bersabarlah hawaku, aku akan datang kepadamu apabila diizinkan Allah S.W.T. 









Thursday, January 31, 2013

Keikhlasan dalam Pengorbanan

Kita harus berkorban di dalam kehidupan. Ikhlaskan hati dalam pengorbanan. Jika keikhlasan yang mengiringi setiap perlakuan kita, maka secara tidak langsung kita tidak akan merasa terbeban atau dibebankan. Malah, kita sebagai umat Islam yang beriman hanya kepada Allah, kita tahu ganjaran terhadap pengorbanan yang dilakukan tidak semestinya datang daripada manusia. Hakikatnya, apa yang akan kita perolehi adalah ganjaran daripada Allah SWT sama ada di dunia mahu pun akhirat. Semoga apa yang kita lakukan akan diberkati oleh Allah SWT. Ikhlaskan hati dalam pengorbanan itulah kunci segalanya.

      

Wednesday, January 30, 2013

Meneruskan Perjuangan


Aku Yang Dewasa


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum wbt

     Sejak pemergian ayahanda tercinta aku memikul tanggungjawab yang sangat besar. Bonda yang keseorangan di rumah menjadi tanggungjawabku yang paling utama. Adikku yang sedang belajar juga tidak dilupakan. Tanggungjawab sebagai guru tidak sesekali aku abaikan. Tambahan pula, aku menyambung pelajaran menjadikan aku sangat sibuk. Tetapi, hatiku terasa amat tenang walau dilanda pelbagai kesibukan. Sesungguhnya niat yang baik akan dimudahkan segala urusan. Perancangan Allah s.w.t kepada setiap manusia adalah terbaik. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberi peluang kepada aku untuk meneruskan perjuangan di dunia ini. 

          Aku mempunyai harta yang cukup sempurna ibu, adik, abang-abang, anak-anak muridku, rakan-rakan dan saudara-saudaraku umat Islam. Tetapi, dari sudut hati kecil ini masih lagi belum dilengkapi sepenuhnya. Hati ini meronta-ronta meminta untuk dilengkapi. Mungkin ini adalah petanda bahawa aku sudah bersedia melangkah ke alam dewasa. Usaha dan tawakal menjadi penentu bagi melengkapkan kehidupan aku. Kita hanya mampu merancang Allah yang menentukan. Aku bersedia untuk menghadapi apa-apa cabaran akan datang. Kepada "Hawaku" yang akan melengkapkan kehidupanku bersedialah jua. Kita akan bersama-sama mengharungi dugaan dan cabaran sehingga akhir hayat. InsyaAllah. Aku memohon kepada Allah agar diberikan kekuatan iman agar aku dapat membawa 'hartaku" bersama-sama ke syurga. Amin yarabbal 'alamin.

Thursday, May 31, 2012

Antara Hujan dan Airmata

Selebat hujan yang turun
Mencurah membasahi bumi
Tidak selebat hujan
Di dalam jiwaku