Thursday, April 15, 2010

Setitis Air Mata


Mengimbas kembali kehidupan aku sebagai seorang guru selama 30 hari di Sk. Bkt. Kenak. Minggu pertama adalah minggu yang amat penting bagi aku kerana minggu ini lah aku mula berkenalan dengan anak-anak didik SkBK. Reaksi pertemuan pertama perlu di lakukan dengan baik agar hubungan yang bagaimana kita mahukan. Bagi aku, anak-anak didik aku perlulah menghormati aku sebagai seorang guru dan pada masa yang sama menganggap aku sebagai kawan. Caranya, ketegasan dalam mengawal tingkah laku murid menjadi rutin harian aku. Tidak secara keseluruhan aku selitkan ketegasan semasa sesi p&p aku juga mengamalkan unsur-unsur kecindan seperti bergurau, menyanyi dan mengusik mereka supaya 'happening' dalam kelas aku. Barulah anak-anak didik aku berasa tidak tertekan semasa pembelajaran. Agak-agak tingkah laku mereka dah fanatik dan agresif aku "cut" dengan unsur-unsur ketegasan. Mudah cara aku. Minggu kedua dan ketiga anak-anak didik aku sudah selesa dengan cara aku. Mereka sangat mesra dan rapat sehingga aku sendiri teringat-ingat serta tidak sabar untuk mengajar mereka pada keesokannya. Petang-petang aku dan Amer latih pasukan bola tampar serta pasukan kawad. Sangat seronok walaupun tersangat letih. Maklumlah pagi mengajar ditambah dengan jarak sekolah yang agak jauh dan cuaca panas. Sangat berbaloi. Ketika pertandingan bola tampar peringkat zon Jertih pasukan perempuan sekolah aku menang naib johon. Terbaiklah (Atikah, Mimi, Suhana, Ayu, dan rakan yang lain). Syabas juga pasukan lelaki walaupun kalah di peringkat suku akhir tidak mengapa "kalau semua nak menang, siapa nak kalah" :0. Walaubagaimanapun kalah tetapi kalah bergaya. Itu yang paling penting. Kegagalan sekali akan membuatkan kita menang berkali-kali. Minggu terakhir adalah minggu yang amat sukar untuk aku luahkan. Kelas yang paling hujung iaitu kelas yang paling nakal tetapi kelas yang pling aku sayang, anak-anak murid aku di kelas ini hampir kesemua menangis apabila aku mengatakan yang aku akan kembali ke Institut. Tak sanggup aku melihat titisan air mata mereka. Sangat sedih. Kesedihan hanya di dalam diri. Tidak sanggup aku keluarkan. Hari yang terakhir aku di Sk. BKt Kenak ramai murid-murid memberikan hadiah kepada aku. Bukan hadiah yang aku harapkan. Harapan aku hanyalah kejayaan setiap dari mereka. Paling yang membuatkan jiwa aku merintih adalah ketika murid-murid 4 Jaya bersalaman serta memeluk aku di saat-saat terakhir. Titisan air mata anak-anak berlumuran di baju aku. Sebak jiwa aku sebentar. Selepas itu, mereka menyanyikan lagu 'Rumahku' yang digubah sendiri oleh aku ketika membuat set induksi sewaktu mengajar subjek Kajian Tempatan tempoh hari. Sungguh tidakku sangka pengajaran aku selama ini memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Bertambah-tambah rintihan jiwa aku. Untuk meredakan keadaan aku senyum, ketawa dan menyanyi. Suasana berubah menjadi tenang. Sebelum aku tamatkan sesi yang terakhir sedikit kata-kata semangat aku sematkan dalam diri anak-anak muridku. Kelihatan bersemangat di wajah setiap murid-muridku. iItu yang aku mahukan. Akhir sekali, aku sangat puas hati dapat membuat praktikum di SKBK. Pengalaman yang tidak mungkin orang lain dapat. Pengalaman yang hanya tersemat di dalam diri aku.

Thursday, April 1, 2010

Sk. Bukit Kenak sekolah pertama aku

Sk. Bukit Kenak terletak di zon jertih menjadi perhentian seketika aku. Sekolah yang sangat menarik dan permandangannya ditepi sawah yang mempersonakan setiap detik nadiku. Murid-murid yang selalu menghiburkan hati dengan pelbagai karenah menjadi kenangan hidupku. Akim seorang murid yang memukau aku kembali ke zaman silam. Perwatakan dan percakapan mengingatkan aku sewaktu dahulu tiada perbezaannya. Di waktu persekolahannya adalah bagaikan manusia yang sangat baik tetapi sewaktu petangnya bagaikan harimau mengganas. Itu jualah aku saling tak tumpah. Bunyi-bunyian yang mengasyikkan aku "Cikgu! Cikgu! Cikgu! masuklah kelas saya! masuklah saya" sentiasa bermain-main di kedua-dua belah telinga aku membuatkan aku mengerti apa sebenarnya kasih sayang. Penat tak terkata. Siapa yang memberi pendapat menjadi guru adalah mudah. Akan aku beri penamparlogi di dahinya. Berat sangat tugas seorang guru. Menjadi guru bukan sahaja sekadar mengajar "content" malah segala kemahiran yang membolehkan seorang manusia menjadi insan yang harmonis dan berakhlak mulia juga perlu diterapkan. Apa yang aku lihat guru-guru paginya mengajar ilmu dan ditambah sebelah petangnya mengajar sukan, permainan, kawad kaki dan sebagainya. Semua itulah aku telah laluinya. Apa yang penting adalah keikhlasan. Apa jua yang dilakukan dengan ikhlas pada akhirnya kita akan dapat satu kepuasan yang akan dikenang sampai bila-bila. Aku sudah merasakanya. Sangat bahagia. Tak terungkat dengan kata-kata. Walau bagaimanapun semuanya hanyalah satu persinggahan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itulah lumrah hidup kita sebagai manusia. Pengalaman adalah pemanis kenangan. Jauh lagi perjalanan aku. Ini hanyalah satu permulaan. Permulaan yang sangat membanggakan aku. Bangga menjadi seorang guru.

Elemen Tematik Pengajian Sosial

Pembahagian mengikut tematik

KUASA AUTORITI DAN KAWALAN

Konsep kuasa merupakan salah satu daripada konsep utama pengkajian politik. Segala kegiatan atau proses politik dikatakan berkisar atas persoalan kuasa.Misalnya,atas persoalan bagaimana mendapat dan menggunakan kuasa untuk mencapai sesuatu matlamat.Walaupun terdapat pelbagai usaha daripada pihak cendekiawan serta pengkaji politik untuk memberi satu tafsiran mengenai kuasa, sebenamya konsep kuasa rnerupakan suatu konsep yang sukar difahami maksud atau definisinya. Tambahan pula, konsep kuasa sukar untuk dinilai .Namun kuasa dipercayai boleh dirasai apabila sesuatu perkara berlaku melibatkan fenomena kuasa.Konsep kuasa kerap kali dihubungkaitkan dengan pemerintahan, raja dan Tuhan.Walau bagaimanapun,konsep kuasa penting didalam hubungan-hubungan arena politik sarna ada politik setempat atau politik antarabangsa.

DEFINISI

Seperti yang sedia maklum, konsep kuasa membawa pelbagai maksud dan ia terpulang kepada keadaan tertentu dalam mana istilah tersebut digunakan.Kuasa didefinisikan sebagai keupayaan atau ciri semula jadi pemerintah. Ia juga dianggap sebagai sejenis keupayaan untuk menyelesaikan masalah, melaksanakan sesuatu di mana manusia yang boleh mendatangkan sifat kesetiaan di kalangan orang perseorangan. Kuasa juga bermaksud pengaruh,bercorak kawalan dan juga dikerah untuk mempengaruhi ketaatsetiaan rakyat. Jika ia digunakan dengan berkesan ia.boleh mempengaruhi tingkah laku orang lain.

Sebenamya istilah kuasa pernah digunakan oleh ramai pemikir politik di zaman silam dan mengaitkan konsep tersebut dengan kuasa mutlak yang dipunyai oleh pemerintah. David Easton, mendefinisikan kuasa sebagai satu kebolehan yang dipunyai oleh seseorang individu atau kumpulan,dan kebolehan ini menjelma apabila mereka mempengaruhi individu atau kurnpulan yang lain untuk mematuhi kehendak orang atau individu yang dipercayai mempunyai kuasa. Bertrand Rusell mendefinisikan kuasa sebagai satu nilai yang bersifat kuantiti, iaitu yang boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu kesan atau kejadian.Talcott Parsons mendefinisikan kuasa sebagai satu keupayaan yang dipunyai oleh unit-unit tertentu yang boleh memaksa organisasi besar atau kolektif memenuhi tanggungjawab terhadap unit-unit tadi.

Beliau juga mengatakan bahawa kuasa sering digunakan sebagai satu mekanisme untuk memberikan perubahan yang diingini dalam semua hubungan masyarakat. Oleh yang demikian, kuasa sering kali dianggap sebagai satu kebolehan memaksa orang lain berbuat sesuatu ataupun untuk menjayakan sesuatu rancangan mengikut naluri seseorang walaupun ditentang.Ia juga boleh dikatakan satu keupayaan yang berpunca daripada hak dan kedudukan yang istimewa untuk mengawal tabiat dan kelakuan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Secara keseluruhannya, maksud kuasa ialab kebolehan menyatakan sesuatu dan memaksa untuk berbuat sesuatu kerana takutkan kuasa. Jika seseorang mempunyai kuasa dia berupaya menyelesaikan masalah atau konflik dan mendorong kesetiaan pada satu - ­satu keadaan. Kuasa selalunya dipunyai oleh golongan pemerintah dalam sesebuah masyarakat yang akan meneruskan sesuatu dasar yang diluluskan.

KEWUJUDAN KUASA

Konsep kuasa wujud sebaik saja manusia bertamadun dan dengan wujudnya pemimpin, kuasa telah mendapat matlamatnya.Pada ketika itu, pemimpin secara tidak langsung , apabila dilantik akan berkuasa sama ada secara hak atau sebaliknya.Kuasa wujud setelah masyarakat berasaskan mereka harus memberi sepenuh kepercayaan dan hak kepada orang yang bakal memimpin.

Apabila seseorang itu berkuasa dia akan menggunakannya untuk memiliki dan memenuhi kehendaknya. Lebih jelas lagi,dengan kuasa yang ada padanya dia akan memperkuatkan pengaruhnya.Pengaruh merupakan unsur penting.Pengaruh juga akan menentukan sama ada seseorang pemimpin itu mendapat sokongan atau sebaliknya dan diberi mandat untuk memerintah.

Kuasa boleh diperihalkan dengan meluas.Sememangnya kuasa dan pengaruh berkait rapat. Dengan kuasa yang dimiliki, seorang itu dapat mempengaruhi orang lain. Kuasa ialah keupayaan yang berpunca daripada hak dan kedudukan untuk mengawal tabiat atau perlakuan masyarakat secara langsung.Dalam sejarah negara, kuasa merupakan unsur yang dipunyai oleh kerajaan yang ditegaskan oleh Max Weber, institusi negara merupakan satu pertubuhan manusia yang kekal dan berterusan dan ia akan dihormati kerana institusi negara sahaja yang dapat memonopolikan penggunaan kuasa secara fizikal untuk melaksanakan perintahnya.Berdasarkan kenyataan ini, kita boleh mentakrifkan kuasa sebagai bakat istimewa untuk memerintah orang lain. Bidang kuasa dalam masyarakat bergantung pada keperluan perkhidmatan.

Kuasa dengan sendirinya bukanlah kewibawaan atau kuasa yang sah. Kuasa selalunya dipunyai oleh golongan yang memerintah dalam sesebuah masyarakat atau negara. Kuasa itu disahkan apabila tidak seseorang pun dapat mempertikaikan kedudukan mereka sebagai pemegang kuasa yang sah.

Untuk berkuasa, seseorang memerlukan unsur Kewibawaan bagi mempengaruhi masyarakat. Kuasa juga menandakan satu tahap pemusatan atau kawalan masyarakat. Kuasa membolehkan sesuatu dasar bagi masyarakat dilulus dan dilaksanakan. Namun pelaksanaan sesuatu dasar dikatakan tadak akan berkesan atau berjaya kalau tiada pengagihan kuasa.Pada hakikatnya kuasa diperhatikan sebagai satu komoditi yang dicipta oleh manusia dan kuasa itu sentiasa berubah menurut nilai pemikiran manusia.

Sudah menjadi naluri dan keinginan semula jadi, manusia mahu berkuasa dan mempunyai kuasa, tetapi hanya orang-orang tertentu sahaja yang diberikan kepercayaan untuk berkuasa. Apa yang menentukan kewibawaan pemimpin tersebut ialah kebolehan beliau menggunakan kuasa secara sah atau tidak untuk memastikan penguasaannya tidak tergugat.Walau bagaimanapun,kita kadangkala tersa1ah memberikan mandat hingga pemimpin tersebut menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka. Keadaan ini tidak dapat dinafikan.

SUMBER KUASA

Terdapat tiga sumber kuasa. Pertama, personaliti, iaitu unsur-unsur peribadi penting seperti keadaan fizikal, kecerdasan, cara berpidato, akhlak seorang pemimpin. Sebenarnya kesemua sifat peribadi pemimpin itu dapat dikatakan sebagai sifat karismatik. Karisma atau daya penarikan seorang pemimpin boleh menolong dan mendorong pemimpin menjayakan sesuatu yang diingini oleh pemimpin untuk mengasuh atau mempengaruhi para pengikut. Antara pemimpin yang mempunyai daya penarik yang kuat ialah Mao-tse Tung, Sukarno, Mahatma Gandi, Gamal Nasser, John F.Kennedy dan Ayatollah Khomeini. Namun semua pemimpin berkarisma sememangnya memerlukan organisasi tertentu untuk mencapai cita-citanya.

Kedua, kekayaan dan harta. Orang yang mempunyai harta dianggap mempunyai kuasa kerana para pengikutnya berharap akan mendapat ganjaran. Bagaimanapun, kekayaan juga mempunyai had yang tertentu, kerana kehilangan kekayaan akan mengakibatkan kehilangan kuasa seta pengikut yang mengharapkan ganjaran.

Ketiga, organisasio, iaitu unsur paling berpegaruh. Seseorang pemimpin dapat menjamin pengaruh dan kuasanya tidak pudar dengan mengadakan pertubuhan - ­pertubuhan yang memperjuangkan kehendak seorang pemimpin. Dalam hal ini, kita boleh lihat contoh beberapa buah parti politik yang berfungsi untuk mempertahankan kehendak seseorang pemimpin. Misalnya, Parti Konvensyen Rakyat yang disusun oleh pemimpin Ghana, iaitu Kwame Nkrumah.

Walaupun demikian, negara merupakan contoh bentuk organisasi yang paling berpengaruh yang mempunyai kuasa muthlak. Jelas sekali, sesebuah negara bukan sahaja bergantung pada rakyatnya, malah termasuk sumber sumber ekonomi dan kepercayaan atau ideologi negara.Kepereayaan atau ideologi jika menjadi keterlaluan boleh mengakibatkan fanatisisme.

CARA MENDAPATKAN KUASA

Terdapat dua cara untuk mendapatkan kuasa, iaitu secara kekerasan dan tanpa kekerasan.Mendapatkan kuasa tanpa kekerasan bermaksud perjuangan tanpa menggunakan senjata, tetapi mungkin menggunakan cara diplomasi dan taktik-taktik tertentu.

Taktik pertama sebagaimana yang diamalkan oleh Mahatma Gandhi iaitu dasar pe:rjuangan tanpa kekerasan.Beliau memerlukan ketaatan bagi mencapai peraturan peraturan yang sempurna serta semangat yang kuat.Dengan menggunakan cara aman ini keselamatan dan kebebasan boleh dicapai.Penyatuan seluruh jiwa dapat menentang ketidakadilan dan kekejaman.Meskipun begitu adalah mustahil bagi individu untuk menjayakan kehormatan,agama dan jiwa raganya,jika dia berada dalam satu kuasa yang memerintah bukan berlandaskan keadilan.

Menurut Gandhi perjuangan tanpa kekerasan bukanlah bererti satu kelemahan dan kekerasan bukan bererti memberi hukuman dengan sewenang-wenangnya. Apa yang lebih penting ialah kekuatan dari segi moral. Kekuatan yang berasaskan moral bukan sahaja menambah kekuatan dari segi fizikal tetapi menaikkan semangat perjuangan lebih tabah dan utuh. Perjuangan tanpa kekerasan akan mencapai kejayaan jika mempunyai keyakinan yang kuat. Kegagalan pemberontakan Zulu di Afrika merupakan satu bukti nyata yang kekuatan fizikal sahaja tidak membawa kejayaan tanpa semangat yang kuat. Tanpa kekerasan juga bukan bererti tunduk kepada sesuatu tanpa sebarang bantahan.Sebaliknya keadaan tersebut akan menyatupadukan penduduk untuk menentang ketidakadilan. Kelemahan sesebuah negara bukanlah merupakan satu alasan yang baik sebagai penghalang kepada dasar perjuangan tanpa kekerasan.Sebaliknya ia akan menjadi perangsang dan kekuatan dalam menegakkan kebenaran.

Gandhi juga menegaskan pertumpahan darah melalui peperangan atau kekerasan untuk mendapatkan kebebasan merupakan kebebasan yang tidak sejati.Kebebasan yang dicapai secara aman adalah lebih bermakna.Perjuangan tanpa kekerasan juga akan

menghapuskan campur tangan kuasa-kuasa besar sama ada secara langsung atau tidak langsung. Namun, terdapat negara yang mengamalkan sistem demokrasi, tetapi berlandaskan kekerasan. Kekuasaan digunakan untuk kepentingan diri tanpa mengira kepentingan masyarakat.

Pemimpin yang berwibawa biasanya mempunyai kuasa mempengaruhi pengikutnya untuk melakukan sesuatu atau mengikut peraturannya tanpa sebarang tentangan.Sungguhpun begitu, pengikut pengikutnya melakukanya tanpa minat atau ingin bertindak secara berlainan.Disini, kita dapat melihat seseorang yang mempunyai kuasa menggunakannya ke atas yang lemah untuk kepentingan mereka sendiri seperti untuk melemahkan penentangan. Konsep kekeluargaan kuasa boleh disamakan dengan penaakulan yang merupakan satu contoh kewibawaan.

Kesimpulannya,mereka yang berpengaruh selalunya menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menghukum sesiapa sahaja yang tidak menurut perintahnya.Pihak berkuasa mempunyai kuasa ke atas orang lain serta ke atas kepentingan yang bersangkutan dengan kepentingannya.Dalam kes ini,timbul ketidakadilan kerana dalam menjatuhkan hukuman tertentu akan menimbulkan atau mendatangkan kesengsaraan kepada si penerima hukuman.Tetapi, jika dilihat dari satu segi segala tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa adalah untuk kepentingan kuasa dan pengaruh mereka.

DASAR KUASA DALAM MASYARAKAT

Kuasa merupakan satu bidang yang sangat luas. Kuasa masyarakat bermaksud kebolehan mengawal tabiat orang lain sama ada secara langsung atau sebaliknya dengan penganalisisan dan pengendalian perkara-perkara yang penting. Di dalam struktur ekonomi, tidak kira sama ada ia ditubuhkan dalam bentuk kapitalis atau sosialis ,terdapat kuasa yang diletakkan dalam kelas – kelas tertentu mengikut susunannya. Dalam dunia moden, kuasa lebih dtitikberatkan kepada pengurusan daripada menghakmilikkannya.

Dalam bidang kebudayaan ia juga mengalami perkembangan kuasa .Banyak lagi bentuk aktiviti kebudayaan yang juga menimbulkan pembentukan kuasa mengikut jenisnya. Kuasa dan ekonomi yang berselerak ini dapat dilihat dengan jelas.

Kuasa ekonomi merupakan kuasa keatas barangan dan urusan bersangkutan dengan kuasa untuk mengarahkan seseorang bagi mempertahankan publisiti.Untuk satu-­satu tujuan, kuasa politik mempunyai kuasa dan kewibawaan yang tidak dapat dipertikaikan.

CORAK KUASA POLITIK MASA KINI

Terdapat dua golongan atau pandangan terhadap tampuk pemerintahan kuasa di Amerika Syarikat. Pertama, golongan elit. Kehidupan masyarakat dan rakyat Amerika Syarikat dikuasai oleh segolongan kecil mereka yang berkuasa dan punca kuasa mereka ialah ekonomi. Kedua, golongan pluralis. Masyarakat moden yang terdiri daripada berbagai -bagai struktur dan setiap struktur dikendalikan oleh kuasa yang berasingan.Masyarakat atau rakyat juga mempunyai kuasa dalam menentukan perjalanan dan kelancaran masyarakat serta pentadbiran sesebuah masyarakat atau sesebuah negara.

Pilihanraya dan hak mengundi yang diadakan juga merupakan satu bentuk kuasa masyarakat. Kumpulan-kumpulan rakyat atau pertubuhan – pertubuhan juga boleh dtubuhkan bagi mengumpul dan menyatukan segala kuasa yang ada pada masyarakat.

MASALAH KUASA

Kuasa dianggap seperti ketulan individu, pejal dan tidak boleh dipecahkan.Tetapi ia boleh dikongsi bersama. Jadi dalam konteks ini, kuasa hanya berhak kepada seorang sahaja.

Wang sangat berpengaruh dan begitu juga dengan pengeluar.Contohnya, pengeluar susu di Amerika Syarikat pengeluar susu tersebut telah mempengaruhi presiden untuk menambahkan pengeluaran subsidi susu.Ini disebabkan mereka te1ah menyumbang tenaga dalam kempennya. Dalam hal ini, masyarakat dan kempen merupakan dua perkara yang penting dan menonjolkan diri serta cuba mempengaruhi orang lain.

KONSEP AUTORITI

.AUTORITI DAN KEWIBAWAAN

Robert L.Peabody berpendapat bahawa konsep autoriti boleh didefinisikan seperti bcrikut.:

I. Harta kekayaan seseorang atau jabatan ,terutama hak untuk memberi perintah.

2. Perkaitan atau hubungan antara dua jabatan(individu) yang lebih penting dan yang kurang penting, tiap-taip tugas menjadi perkaitan yang sah.

3. Nilai perhubungan dan nilai kebaikan yang mewujudkan sesuatu yang diterima.

4. Variasi yang tidak dapat dikira, satu atau lebih bentuk defini yang logik dan fenomena autoriti merujuk kepada asas perangai manusia atau tingkah laku seseorang.

BAGAIMANA AUTORITI WUJUD

Sebenarnya perbicangan tentang konsep autoriti mendahului perbincangan tentang kuasa. Terutama, dalam karya-karya pemikir politik zaman pertengahan (abad ke-14 dan ke-15). Kita dapat mengesan perbincangan tentang autoriti apabila mereka mengaitkannya dengan negara. misalnya Max Weber, dalam membincang asal-usul negara dan autoriti, beliau menyatakan bahawa memang menjadi satu kebiasaan masyarakat silam menghormati orang tua sebagai orang yang berpengalaman dan oleh yang demikian berautoriti untuk memberi kata putus tentang persoalan kehidupan di masyarakat berkenaan.Apabila seseorang itu dipercayai mempunyai autoriti, ia dianggap mernpunyai suatu sifat kelebihan atau kesahan untuk memberi arahan atau perintah tentang sesuatu isu atau menyampaikan cadangan.Ini bererti arahannya akan dituruti kerana orang yang mempunyai autoriti dianggap sebagai hak mengeluarkan arahan dan orang bawahan pula diharap akan mematuhi arahan tersebut.Berdasarkan kenyataan ini,kita dapat mengatakan bahawa sesiapa yang mempunyai autoriti tidak perlu menggunakan paksaan kerana ia sememangnya mempunyai kesahan atau legitimasi. Disamping itu, jika orang yang patut tunduk kepada arahan orang atasan yang berwibawa mula menyoal arahan tersebut, ia bererti bahawa kedudukan orang yang mengeluarkan arahan mula tergugat dan seterusnya akan mengancam kestabilan pemerintahan yang sedia ada. Sesungguhnya autoriti dikatakan paling berkesan jika sesuatu arahan daripada pihak atasan dituruti walaupun tanpa arahan secara tulis atau rasmi tidak dikeluarkan . Dalam keadaan sebegini -keturutan dicapai kerana orang yang turut kepada arahan tidak berfikir banyak sama ada arahan itu sah atau tidak. Pendek kata, autoriti seseorang dapat ditakrifkan sebagai berkesan jika arahannya diterirna tanpa dipersoalkan.

Autoriti juga dikatakan berfungsi dalam keadaan di mana terdapat dua pihak. Satu pihak yang tinggi dari segi salah silahnya dan pihak yang kedua pula dianggap di darjat yang bawah.Misalnya seorang pegawai kanan kerajaan akan dituruti oleh pegawai-­pegawai di peringkat bawahan.Seorang raja akan dituruti oleh rakyat negara berkenaan. Seorang menteri pula akan tunduk kepada arahan Perdana Menteri.Seorang ketua kerajaan (Perdana Menteri dan menteri -menteri lain)akan tunduk kepada arahan ketua negara(sama ada raja atau presiden) negara berkenaan dan sebagainya.

Dalam semua keadaan yang dinyatakan perhubungan antara pihak atasan dan bawahan adalah diharapkan iaitu dari segi peraturan dan amalan.Boleh dinyatakan,oleh sebab kejadian rnenunduk kepada arahan pihak atasan menjadi satu kebiasaan maka tidak perlulah sebarang institusi tertentu diadakan untuk memastikan arahan pihak atasan dituruti oleh semua pihak.Seperti yang dijelaskan oleh Max Weber jika rakyat sudah biasa tunduk kepada arahan pihak atasan maka ia memudahkan kerja golongan birokrat, menguatkuasakan peraturan atau arahan perkhidmatam awam.

Kenyataan autoriti membayangkan terdapat satu sistem atau satu rangka undang­undang atau peraturan yang sentiasa dirujuk jika berlaku sebarang keraguan terutama di sistem politik yang mempunyai jentera pentadbiran yang teratur dan cekap.Dengan merujuk kepada peraturan maka segala tindakan akan berjalan lancar kerana segala tindakan akan diliputi olen unsur legitimasi. Dengan pengertian yang lain autoriti berasaskan kepada undang-undang dan mempunyai kesahan mengarah sesuatu tindakan.Autoriti tradisional berasaskan nilai-nilai tradisi adat dan sejarah untuk menentukan kedudukan,kewibawaan dan kawasan atau persekitaran perluasannya.Autoriti yang dikurniakan kepada seseorang tidak diperoleh daripada mana­-mana pengukuhan undang-undang tetapi berdasarkan sejarah peribadi dan individu dalam mengeluarkan arahan kepada orang lain.

Seorang yang mempunyai autoriti juga mempunyai separuh daripada kuasa yang luar biasa dan istimewa.Dari sudut psikologi ia menjadi lebih kompleks dalam percubaan untuk mencari nilai-nilai kebajikan, kenyataan yang sah seperti seorang individu yang dipisahkan daripada orang lain.Contohnya seorang konstabel polis memberikan isyarat kepada pemandu sebuah kereta supaya menghentikan kenderaan yang dipandunya. Jika pemandu kereta tersebut enggan berbuat demikian dan sebaliknya cuba melarikan diri tentu sahaja konstabel polis akan melepaskan tembakan amaran kepada pemandu. Jika tembakan amaran itu tidak dihiraukan, konstabel polis itu berhak menggunakan senjata apinya untuk menembak pemandu yang ingkar itu.

Dalam keadaan ini konstabel polis itu memang tidak terkeluar dari bidang kuasanya untuk memastikan arahannya dituruti.Tambahan pula jika orang ramai mempersoalkan tindakan konstabel polis tentu sahaja beliau akan menjawab dia hanya menurut perintah pihak atasan.Jika pegawai penguasa pula ditanya dia pula akan menyatakan bahawa dia sememangnya mengikut arahan menteri. Jika menteri pula ditanya beliau akan menegaskan bahawa kakitangan jabatan beliau terpaksa tunduk pada arahan yang diluluskan oleh parlimen. Jika anggota-anggota parlimen ditanya perkara yang sama mereka pula akan menyatakan bahawa mereka tidak ada pilihan lain kecuali meluluskan undang-undang yang berkenaan kerana hendak mempertahankan kestabilan dan ketertiban rakyat.Daripada contoh yang diberikan kita dapat mengandaikan bahawa kesahan sesuatu tindakan pegawai kerajaan tertakluk kepada keperluan kerajaan ,negara dan rakyat.

Sebagai kesimpulan dapat diandaikan bahawa autoriti semestinya berpunca daripada satu pihak yang berkedudukan tinggi.Pihak yang berautoriti itu semestinya dipatuhi kerana dia dianggap pihak yang sah memberi atau mengeluarkan perintah.

JENIS AUTORITI

AUTORITI TRADISIONAL

Autoriti ini dirujuk kepada kuasa yang diperoleh seseorang pemimpin secara turun-temurun. Autoriti jenis ini biasanya terdapat dalam masyarakat tradisional. Misalnya,anak sulung lelaki dalam sesebuah keluarga akan dianggap sebagai bakal pengganti bapanya. Autoriti tradisional juga dapat dilihat dalam sistem pemerintahan raja mutlak. Dalam sistem tersebut, raja diberi segala kehormatan dan segala perintahnya dituruti tanpa dipersoal. Kuasa yang dipegang pula akan diwarisi anak sulungnya. Semua jawatan rasmi seterusnya akan dipegang oleh sanak-saudara raja tersebut. Nyata sekali, dalam masyarakat tradisional pihak yang berkuasa dan mempunyai kuasa cara ini akan dipatuhi oleh masyarakat tanpa sebarang bantahan. Autoriti tadisional adalah sah dan diterima umum. Ketua yang berwibawa sering mendapat sokongan padu masyarakat tradisional. Nilai kewibawaannva tidak tercabar kerana ia berdasarkan keturunan dan warisan.

AUTORITI KARISMATIK

Sifat karisma ditujukan kepada seseorang yang mempunyai sifat-sifat personaliti seperti ketabahan peribadi, kebolehan berpidato dan sifat kepimpinan yang baik. Dia adalah seorang manusia biasa, tetapi diperlakukan atau dianggap seperti seorang yang luar biasa atau mempunyai kuasa atau kualiti semula jadi yang istimewa. Pemimpin yang berkarisma menjalankan tanggungjawab berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.

Hubungan yang baik antara ahli kumpulan ini sangat erat dan sentiasa dijaga.

Apabila dia gagal membuktikan kualiti karismanya, maka dia berasakan kehilangan kuasa pemimpinnya. Pentadbirannya tidak berlandaskan pangkat tetapi hanya mempunyai seorang ketua.

Ketua dipilih berlandaskan kualiti-kualiti karismatik.Pada zaman dahulu,karisma memainkan peranan penting dalam pembentukan semangat.Karisma wujud disebabkan kesedaran setelah mengalami penderitaan dan perjuangan.Namun,jarang sekali daya karisma ini dapat diwarisi anak seorang pemimpin yang berkarisma.Misalnya,anak anak Mahatma Gandhi tidak dapat mewarisi sifat karisma bapa mereka.Oleh itu ,kewibawaan karismatik adalah kewibawaan yang mutlak. Segala perintah yang dikeluarkan oleh pemimpin yang berkarisma biasanya akan diikuti walaupun berlainan minat.Selagi orang bawahan mematuhi cadangannya selagi itulah nilai karismatiknya tidak tercabar.

AUTORITI RASIONAL DAN UNDANG-UNDANG

Seperti autoriti tradisional autoriti yang berpandukan undang-undang diiktiraf rasional dan ia dianggap sah dan diterima umum. Autoriti rasional undang-undang muncul daripada jawatan yang dipegang bukan daripada keistimewaan yang ada pada seorang pemimpin. Konsep autoritinya adalah hampir sama dengan tradisional tetapi ia terdapat dalam masyarakat moden dan lebih mematuhi undang-undang.

Autoriti Jenis ini lebih memerlukan kewibawaan yang tertumpu kepada kebernasan, pandangan dan kecekapan pemikiran untuk membuat arahan yang rasional. kepatuhan terhadap undang-undang dan arahan kerajaan menjadikan kewibawaan jenis ini tersusun kemas dan memudahkan orang yang berwibawamenjalankan tugasnya.

Amitai Etzioni mengkategorikan kuasa dalam tiga kumpulan. Pertama autoriti yang bersifat paksaan iaitu seseorang mematuhi arahan kerana takut akan hukuman jika tidak mematuhi arahan tersebut. Kedua ialah autoriti normatif. Dalam keadaan ini, seorang akan mematuhi arahan kerana sudah menjadi kebiasaan. Misalnya menghormati simbol negara seperti bendera, mematuhi arahan kerana itu adalah yang baik bagi menjayakan ketertiban dan keamanan negara dan sebagainya. Ketiga, autoriti yang bercorak utilitarian iaitu melakukan sesuatu kerana akan mendatangkan kebahagian atau sesuatu ganjaran terutama oleh seorang pegawai kerajaan. Oleh yang demikian, autoriti jenis ini juga dikenali sebagai autoriti ganjaran.

Kuasa merupakan suatu elemen yang penting dalam mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak. Ini kerana dengan kuasa adalah kesanggupan seseorang untuk mengawal tingka laku seseorang yang lain. Menurut Max Weber, beliau telah memberi satu definisi klasik mengenai kuasa. Pada umumnya “kuasa” diertikan sebagai peluang seseorang atau golongan manusia untuk mencapai cita-cita mereka dalam satu tindakan bersama walaupun tindakan itu ditentang oleh pihak lain.

Di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, kuasa dan autoriti terletak pada ketua keluarga iaitu bapa. Seseorang bapa berhak membuat keputusan yang terbaik bagi anak-anaknya. Manakala sebagai seorang anak yang baik seseorang kanak-kanak itu hendaklah mematuhi segala keputusan yang dibuat oleh bapanya tanpa sebarang bantahan kerana itu merupakan yang terbaik kepada mereka.

Di sekolah dan institusi pendidikan pula, guru besar, dan tenaga pengajar merupakan individu yang mempunyai kuasa atau autoriti dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap kanak-kanak ini. Sebagai murid kanak-kanak haruslah mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan guru selagi ianya tidak melampaui batas pemikiran normal seseorang manusia. Selain itu, di sekolah juga telah diwujudkan jawatankuasa kepimpinan samaada di peringkat sekolah mahupun kelas yang anggotanya terdiri daripada kalangan pelajar sekolah itu sendiri. Ini secara tidak langsung dapat mendidik kanak-kanak nilai kepimpinan dalam masyarakat. Selain daripada menimbulkan rasa hormat sesame sendiri.

Budaya

Dari perspektif sosiologi kebudayaan membawa pengertian segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala kepercayaan, nilai-nilai politik, adat resam, undang-

undang, moral, institusi sosial, seni lukis, bahasa dan bahan-bahan material

(kebendaan). Edward B.Taylo, telah memberi satu takrif yang klasik mengenai konsep kebudayaan. "Kebudayaan merupakan satu keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat".

Budaya merupakan nilai-nilai, kepercayaan, pengetahuan dan tradisi,Pengetahuan asas mengenai budaya merupakan antara aspek penting yang memberi gambaran kepada kita bahawa budaya memainkan peranannya tersendiri dalam membentuk nilai dan sahsiah manusia. Aspek-aspek kebudayaan dapat mempengaruhi tingkahlaku manusia secara umumnya. Jelasnya di sini bahawa manusia dapat mencipta sesuatu, belajar dan yang paling pentingnya dapat menyesuaikan diri dengan budaya.Budaya menolong kita dalam memahami dan mengerti sesuatu perkara.Misalnya, kita dapat memahami seseorang individu dan ahli-ahli dalam sesebuah kumpulan.

Selain itu, sesuatu budaya itu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Setiap budaya yang diperlihatkan adalah memberikan kesannya yang baik kepada manusia sebagaimana yang kita pelajari mengenai budaya adat resam sesuatu masyarakat itu sendiri. Di sini, kita dapat melihat betapa uniknya sesuatu kebudayaan itu sekiranya kita menghayati dan menilainya dengan sendiri.

Terdapat beberapa perbezaan dan persamaan yang dapat kita lihat melaui keunikan sesuatu budaya itu sendiri. Bahkan, kita semua sebagai contoh, mempunyai pelbagai sistem kepercayaan, agama, cara hidup, nilai tradisi yang ingin ditonjolkan dan kegiatan seharian yang dilakukan oleh kita sendiri.Dalam bidang Pengajian Kajian Sosial ini, budaya memainkan peranan dalam mempengaruhi kehidupan sosial seseorang kanak-kanak.Bagi kanak-kanak, budaya mereka adalah sesuatu yang perlu kita menitikberatkan agar pembentukkan budaya mereka tidak kita ketepikan begitu sahaja malahan kita seharusnya memahami sendiri apa sebenarnya budaya yang sering bermain di fikiran kanak-kanak sekarang.

Di sini jelaslah bahawa, bermain sambil belajar merupakan salah satu budaya kanak-kanak yang sering kita lihat.Bermain sambil belajar merupakan sesuatu perkara yang sedia ada dan menjadi rutin seharian bagi kanak-kanak dalam memperkembangkan minda, bakat, dan kebolehan mereka membentuk nilai disiplin diri yang kuat dalam diri mereka sendiri.Bahkan budaya ini banyak memberikan manfaat kepada kanak-kanak dalam menjadikan diri mereka sebagai seorang yang penuh dengan kredibiliti yang tinggi dan penuh disiplin.

Tingkahlaku sosial kanak-kanak adalah di bentuk melalui pengaruh kebudayaan dan cara-cara yang mana dia dibesarkan. Penyesuaian sosial merupakan satu proses di mana kanak-kanak dilatih supaya mereka berkebolehan untuk bergaul mesra dengan orang lain.Dalam proses ini, jelaslah bahawa, bermain dianggap sebagai satu perkara penting bagi kanak-kanak.Melalui proses ini juga, kanak-kanak akan mempelajari dan membentuk sikap persaudaraan dan pergaulan dalam perhubungan sosial dengan secara tidak sedar.Misalannya semasa menjalankan aktiviti berkumpulan.Semasa proses kumpulan dilakukan, kanak-kanak akan memperolehi pengalaman yang aktif mengenai saling-pertimbangan, tolong-menolong dalam kumpulan, bertukar idea dan pendapat, persefahaman dan yang paling penting sekali adalah sikap tolenrasi.

Selain daripada itu, kanak-kanak juga dapat belajar bagaimana harus menghormati kerja dan harta benda orang lain, berkongsi dan menunggu giliran, memberi arahan dan mengikut arahan, memimpin dan dipimpin.Justeru itu, sebagai ibu bapa, guru dan ahli masyarakat peranan mereka adalah untuk menyediakan alat-alat permainan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menolong kanak-kanak bagi mencapai taraf penyesuaian sosial yang tinggi.

Di samping itu juga, amalan budaya atau membaca di kalangan kanak-kanak juga merupakan salah satu daripada amalan budaya yang memberikan banyak impaknya kepada kehidupan kanak-kanak.Secara ringkasnya, budaya ilmu atau budaya membaca ialah budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dan keutamaan lainnya yang dicari dan dikembangkan pada setiap masa dan tempat.Melalui amalan budaya membaca, kanak-kanak dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak berfaedah bagi mereka bahkan amalan ini mampu membentuk insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Justeru itu, budaya membaca perlu dibentuk di peringkat kanak-kanak lagi sekiranya kita mahukan generasi yang akan datang mampu melahirkan sesuatu pembaharuan yang baru pada negara kita kelak.

Setiap negara mempunyai warisan kesenian dan kebudayaan yang tersendiri.Contohnya muzik, tarian dan hasil-hasil kebudayaan.Justeru itu, kanak-kanak harus dibiasakan dengan warisan kesenian dan kebudayaannya sendiri.Pada peringkat awal kanak-kanak,adalah perlu untuk mereka didedahkan kepada warisan kesenian dan kebudayaan yang tersendiri.Dengan itu, kanak-kanak akan berkebolehan untuk saling bertukar idea dan pendapat mengenai warisan kesenian dan kebudayaan antara masyarakat yang berbilang kaum seperti negara kita sendiri, Malaysia.Dengan kaedah ini, kanak-kanak dapat menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian yang terdapat di negara kita.

Sains, Teknologi dan Masyarakat

Sains merupakan salah satu daripada aspek penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak dari segi sosialisasi. Sains mampu melahirkan seseorang kanak-kanak yang bersifat sainstifik dan progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hadapan bahkan ianya bukan hanya terikat kepada teknologi sahaja tetapi turut menjadi penyumbang kepada pembentukan peadaban sains dan teknologi pada masa hadapan.Ilmu pengetahuan sains juga membantu dalam menyemai nilai-nilai murni dan sikap saintifik kepada kanak-kanak bagi membolehkan mereka mempelajari tentang diri sendiri dan alam sekitar melalui pengalaman dan penyiasatan.

Sains, teknologi dan masyarakat juga saling berkait antara satu sama lain.Jelaslah bahawa melalui sains, teknologi dan masyarakat kanak-kanak dapat dibentuk menjadi seseorang individu yang dapat memberikan sumbangan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya sains dan teknologi, bersifat ikram, dinamik, progresif, bertanggungjawab terhadap alam sekeliling dan mengkagumi ciptaan tuhan. Melalui sains, teknologi dan masyarakat, kanak-kanak dapat memperolehi pengetahuan sains dan teknologi dan dapat menghubung kaitkan pengetahuan dengan fenomena alam dan pengalaman harian di samping menyedari kepentingan saling hubungan antara kehidupan bersosial dan pengurusan alam untuk kesinambungan hidup manusia sejagat.

Selain itu, perkembangan pesat dalam bidang teknologi pengkomputeran telah banyak membri kesan kepada pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan lebih-lebih lagi dalam era Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT).Oleh hal yang demikian, di setiap sekolah tersedianya kemudahan prasarana pendidikan termasuklah kemudahan ICT.Dengan adanya bidang teknologi pengkomputeran, kanak-kanak dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaan terhadap proses pembelajaran di samping membolehkan kanak-kanak mengumpul dan mendapatkan maklumat yang memerlukan masa serta kos.Ianya juga mampu meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak.

Jelaslah di sini bahawa tidak dapat kita nafikan lagi perihal pentingnya dunia sains dan teknologi bagi sesebuah negara untuk tujuan pembangunan serta kesinambungannya.Pada masa yang sama sains, teknologi dan masyarakat merupakan aspek penting dalam membangunkan seseorang kanak-kanak dalam meningkatkan ilmu pengetahuan mereka di samping membolehkan mereka belajar bagaimana sesebuah masyarakat itu membangun dengan adanya dunia sains dan teknologi yang pesat . Bahkan ianya memberi kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang baik dari segi teknologinya di mana kanak-kanak di sekolah dapat mempraktikkan segala pengetahuan yang diperolehi melalui bidang sains dan teknologi. Kemudahan yang ada ini memberi peluang kepada mereka dalam memperkembangkan minda justeru ianya mampu melahirkan seseorang kanak-kanak yang berpengetahuan luas mengenai sains dan teknologi.

MANUSIA, TEMPAT DAN PERSEKITARAN

Tema yang terakhir ini sangat berkait rapat dengan kehidupan sosial kanak-kanak. Manusia atau dalam erti kata lain individu lain dalam sesebuah institusi masyarakat amat diperlukan oleh kanak-kanak untuk dijadikan sebagai pembimbing. Ini kerana fitrah kanak-kanak yang harus dipimpin dalam mengharungi kehidupan sebagai anggota masyarakat.

Kanak-kanak ini boleh diibaratkan seperti sehelai kain putih yang suci. Individu sekeliling yang paling rapat dengannya seperti ibu bapa, adik beradik, sahabat handai adalah insan yang perlu mencorakkan kehidupannya mengikut acuan yang betul agar menjadi individu yang berguna kelak.

Selain itu, tempat dan persekitaran juga amat mempengaruhi kehidupan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak amat mudah terpengaruh. Mereka tidak mempunyai akal yang panjang untuk berfikir tentang baik buruk sesuatu perkara dan jika bernasib baik, kanak-kanak akan menerima pengaruh yang baik dan seterusnya akan mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak tersebut tetapi jika sebaliknya, maka yang berlaku, ini adalah amat menyedihkan. Jika kanak-kanak membesar ditempat yang sejahtera dan mempunyai persekitaran yang aman, pengaruh baik banyak mempengaruhi mereka kerana tiada anasir-anasir jahat yang membawa pengaruh tidak elok berada di situ. Begitu juga sebaliknya jika kanak-kanak membesar ditempat dan persekitaran yang huru-hara dan kacau bilau yang mana banyak anasir-anasir jahat yang membawa pengaruh buruk berada disana Kanak-kanak merupakan tonggak atau pelapis yang akan menjadi pewaris kepimpinan negara kita yang tercinta kelak. Jika kanak-kanak ini didedahkan dengan pengaruh yang kurang baik, maka ianya akan mempengaruhi keadaan semasa sesebuah Negara pada masa hadapan

Amalan Baik Sivik

Pendidikan sivik merupakan pendidikan yang secara langsung atau tidak langsung menjadi soal sivik sebagai suatu pegangan.Pendidikan sivik adalah berlandaskan kepada perkembangan sosiobudaya tersendiri negara Malaysia.Ianya dapat membentuk dan memupuk sikap yang positif tehadap negara dan meluaskan kefahaman dan kesedaran penerimaan pendidikan itu terhadap kehendak sosiopolitik negara.

Pendidikan sivik dapat membentuk ciri-ciri personaliti dan sikap yang sesuai di dalam diri seseorang belia itu untuk membolehkannya hidup sebagai seorang dewasa yang bertanggungjawab dan berdedikasi.Matlamat pendidikan sivik adalah untuk mengatur atau menghubungkaitkan seeorang itu terhadap negara dan keraiannya dan juga untuk mengatur pertalian dan hubungkaitnya dengan anggota-anggota yang lain dengan kumpulan-kumpulan tertentu di dalam sesuatu masyarakat.

Pendidikan ini mendedahkan kepada kanak-kanak kepada ilmu pengetahuan, nilai-nilai murni dan pendedahan secara langsung dalam sesuatu situasi sosial yang sebenar.Amalan baik sivik mempunyai perkaitannya dengan amalan kanak-kanak.Umpamanya, kanak-kanak diajar untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran.Jika kanak-kanak itu telah dapat melakukan kebaikan secara sukarela maka ini bererti didikan itu telah meresap ke dalam jiwa kanak-kanak itu sendiri.Justeru kanak-kanak ini berpeluang untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar sekiranya sosialisasi terhadapnya dilakukan secara berkesan.

Membantu orang dalam kesusahan juga adalah amalan baik sivik yang wujud secara semulajadi dikalangan masyarakat dan bangsa.Bahkan dalam banyak hal, sifat bersedia atau bersedia untuk menolong orang lain itu, tidak sahaja patut dilakukan kepada orang yang sedang dalam kesusahan.Ianya juga seharusnya dilakukan kepada orang yang tidak memerlukan apa-apa bantuan, tetapi menunggu kerjasama daripada orang lain.Jelaslah di sini bahawa amalan tolong menolong dan salng bantu membantu antara satu sama lain harus diserapkan dalam diri setiap kanak-kanak agar mereka dapat dibentuk menjadi seorang yang berakhlak dan berjiwa mulia.

Selain daripada itu, sifat berbudi bahasa dan menghormati orang tua pula lahir daripada budaya Melayu yang berteraskan Islam.Ianya berupa tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.Oleh hal yang demikian, dalam proses membesarka kanak-kanak, ibu-bapa dan masyarakat akan melihat sifat ini sebagai ukuran untuk menilai adakah nilai yang hendak diserapkan itu telah dimiliki atau tidak.Justeru mereka seharusnya membimbing dan melaksanakna tanggungjawab yang diberikan dalam membentuk budi pekerti kanak-kanak itu sendiri.

Bibliografi

Sumber Rujukan :

  • Siri Pengajian dan Pendidikan, Dinamika Sekolah dan Bilik Darjah, Kamaruddin Hj. Husin, Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. (1994)
  • Kurikulum dan Pengajaran Sekolah Rendah, Ikhsan Othman dan Norila Md. Salleh, Quantum Books. (2005)
  • Fakulti Pendidikan, Sastera dan Sains Sosial, HB SS1103 Pengenalan Pengajian Sosial, Juriah Bt. Abd. Hamid, Mohd Kamar B. Zainuddin dan Mohd Hussain B. Mohd Tap, Open University ( universiti terbuka Malaysia)
  • Isu-isu dalam Pendidikan Sivik : Ke arah Kecemerlangan, Kamaruddin Jaffar dan Hazami Habib, Institut Kajian Dasar, Kuala Lumpur. (1992)
  • http://www.socialstudies.org/standards?print-friendly=true
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sosiologi
http://www.socialstudies.org/standards/strands/?print-friendly=true